Saturday, January 10, 2009

'Saya cabar wartawan tu!'

'Saya cabar wartawan tu!'
Oleh Zubir Mohd Yunus | Foto Munira Abdul Ghani



Azwan kononnya dipulau artis pemberita. Baru-baru ini didakwa sebar fitnah kawan baik sendiri. Sejauh mana kebenarannya? Jom semuka dengannya

"SIAPA yang tidak kenal Azwan Ali? Pengacara, penerbit, pengarah, pelakon dan penyanyi yang tidak pernah sunyi dari kontroversi. Tahun 2008, genap 20 tahun saya bergelumang dengan 1001 onak duri dunia seni. Dalam usia 41 tahun dan di saat nama kembali ke persada seni kerana rancangan Jangan Tidur Lagi terbitan TV3, saya diduga.

Selain itu, saya kembali bernafas dengan Cit Cat Raya Azwan 2007 terbitan Astro. Pun begitu, nama saya kembali busuk di penghujung Ramadan gara-gara kes perang dengan seorang bintang popular. Saya diberi gelaran Raja kaki Gaduh. Puas hatilah musuh saya yang memberi gelaran ini. Kalau Mawi dengan gelaran Raja SMS, sesuai sangatlah saya dilabel sebagai Raja Kaki Gaduh.

Tapi, saya seorang yang tak ambil pusing apa label nak dicop ke muka dan batang hidung saya ni. Katalah apa saja, berkali-kali saya katakan, do I care? Sebabnya saya tak hidup dipuji, mati tak dikeji. Selama 20 tahun bergelar anak seni, Insya-Allah belum lagi saya tergamak ketuk pintu rumah musuh saya minta sesuap nasi. Rezeki saya masih melimpah, alhamdulillah.

Saya juga dikatakan mempunyai mentaliti seperti budak-budak. Amboi-amboi, mentaliti orang yang mengata tu pun macam budak-budak. Dalam kita mengharungi kehidupan, bab terkilan, bab terguris, bab hati dan perasaan, bukan ada had umur. Kalau seseorang itu terkilan dengan apa juga peristiwa yang meniti kehidupannya, kenapa mesti ada pihak yang busy body?

Tak kena batang hidung sendiri, bolehlah berkokok macam nak rak dan teruskanlah berkokok kerana orang yang punya mentaliti tinggi, tidak akan masuk campur urusan orang lain sehingga sanggup membuat penilaian sendiri tanpa usul periksa apa yang sebenarnya terjadi antara kedua-dua belah pihak yang sedang bertelagah.

Kenapa mesti jadi pihak yang berat sebelah? Tanpa bukti kukuh, menokok tambah pula fakta yang berbau fitnah, cerdik ke golongan yang saya maksudkan ini? Jelas, mentaliti siapa yang rendah dan tidak bertamadun? Sepatutnya pihak yang berangan untuk terpalit dengan kes yang sedang berlaku ini, memainkan peranan untuk menjernihkan keadaan, bukannya jadi batu api dan terus melaga-lagakan pihak yang sedang bermasalah.

Memang saya tidak akan memaafkan pihak media yang mula mencetuskan cerita perang saya dan bintang popular berkenaan. Saya cabar wartawan berkenaan supaya tampil ke depan untuk bersumpah bahawa saya adalah orang yang menjaja cerita perang saya ini terus menerus kepadanya!

Saya hanya bercerita apa yang berlaku antara saya dengan bintang popular itu kepada seorang jurusolek artis, sekalipun jurusolek berkenaan mencanang cerita kepada wartawan itu, kenapa mesti menuduh saya yang menjaja cerita? Tolonglah insaf, tak takut dosa ke? Saya bukan seorang yang hipokrit. Ini bukan kes sebarang kes.

Selepas maruah diri saya dihina, dikeji, perlu ke perkataan maaf diberikan kepada wartawan berkenaan? Dosa pahala biar Tuhan yang tentukan. Saya tak fikir mana-mana manusia atas muka bumi ini semudah itu akan memaafkan pihak yang menabur fitnah dan mencurah pasir ke periuk nasi orang lain. Saya serahkan kepada Tuhan saja.

Rugi kehilangan kawan karib? Maafkan saya. Bersepah kawan karib yang lain ada di atas muka bumi yang fana ini. Satu pergi, 1000 mari! Lainlah kalau saya berperang dengan artis hebat seperti Anita Sarawak ke, Datuk Siti Nurhaliza ke, Amy Mastura ke, mungkin saya akan menyesal kehilangan mereka.

Ada ke artis yang lari apabila bertemu saya? Kalau rasa nak lari, larilah. Seingat saya pada rakaman Jangan Tidur Lagi, penontonnya tetap sesak setiap minggu. Pada rakaman Cit Cat Raya Azwan 2007 pula, artis sehebat Fasha Sandha, Jaclyn Victor, Ezlynn, bintang-bintang Akademi Fantasia (AF) dan ramai lagi, tetap komited. Tak ada pun mereka menolak jemputan saya. Kenapa wartawan tadi tak habis-habis buat fitnah?

Bagaimanapun, saya pasrah dengan semua dugaan Allah. Saya percaya, setiap apa yang berlaku ada iktibar dan rahmatnya. Saya akan tetap berkarya untuk TV3 dan Astro selagi mereka menghargai karya seni saya. Kepada ramai lagi rakan artis, wartawan dan peminat yang masih setia menyokong kerja-kerja saya, hanya Allah saja yang membalas niat murni kalian. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin."

No comments: